Friendster Glitter Background

Tuesday, March 6, 2012

Peihal Isteri dan Rumahtangga (3 Topics)

1. BOLEHKAH ISTERI MENUNTUT HAKNYA?

Assalammualaikum..

Apabila seorang wanita itu masuk ke gerbang perkahwinan, terbukalah tujuh pintu syurga dan tujuh pintu neraka. Ketika itu mereka digelar dengan suami dan isteri, dan terbebanlah ke atas setiapnya dengan beberapa hak dan tanggungjawab.

Tanggungjawab sebagai isteri adalah wajib mentaati dan mengikut perintah suaminya selagi tidak melanggar syariat. Suami pula wajib menyempurnakan hak isterinya sama ada lahir mahupun batin dan kalau suami hidup bermadu mesti adil ke atas semua isterinya. Selagi hak dan tanggungjawab itu dilaksnakan, syurga telahpun tersedia untuknya, dan kalau sebaliknya, neraka adalah lebih layak untuknya.

Tanggungjawab suami adalah memberi nafkah zahir dan batin seperti mana dalam huraian artikal-artikal yang lepas (tanggungjawab seorang suami, nafkah batin bukan sekadar seks, tanggungjawab suami dalam nafkah harta dan suami yang lalai dalam tanggungjawabnya).

Bagi si isteri pula wajib mentaati suami dalam apa keadaan sekalipun. Malah si isteri tidak boleh memaksa suami untuk mengadakan sesuatu yang di luar kemampuannya. Sekiranya isteri redha menerima apa saja pemberian suami, dalam pada itu tetap melaksanakan haknya kepada suami, tidak mengecilkan hati suami, maka ia tergolong sebagai wanita yang baik. Sekiranya si suami memang ada harta, tetapi sengaja membiarkan isteri di dalam kesusahan dan melebihi isterinya yang lain (tidak adil jika hidup bermadu), itu dikira suatu penganiayaan. Namun seorang isteri tidaklah boleh memarahi suami kerana ianya dikira derhaka. Jalan sebaiknya, berterus-teranglah dengan suami dan berbincang dari hati ke hati di dalam suasana baik dan penuh kasih sayang, bukannya dalam keadaan tegang yang boleh mencetuskan pertengkaran. Ataupun mintalah orang yang disegani atau yang rapat dengan suami anda, untuk mengingatkannya akan kewajipannya itu. Jika tidak berubah juga hendaklah bersabar dan berdoa dan mengadulah kepada Allah swt, minta Allah lembutkan hati suami anda. Yakinlah, setiap diri adalah di dalam kekuasaan Allah dan Allahlah yang berkuasa mengubah hati seseorang. Jika perlu, buatlah pengaduan ke pejabat kadi untuk menyelesaikannya.

Mengenai hak kasih sayang dan hubungan seks, sekiranya isteri tidak puas, seelok-eloknya berterus-terang dengan suami, supaya dia dapat memperbaiki diri dan membuat perubahan. Berbincanglah dengan penuh hikmah dan terangkan kepada suami bahawa dengan ketidakpuasan seorang isteri itu akan menimbulkan berbagai-bagai perkara buruk kepada rumahtangga. Antaranya, apabila
nafsu seks tidak terpenuh, isteri akan mudah berang, rasa benci pada suami, tidak dapat menguruskan suami dan rumahtangga, susah untuk senyum dengan suami, bermasam muka dengan suami dan lain-lain kederhakaan lagi. Dan sekiranya nafsu itu dapat dipenuhi barulah isteri berasa ringan dan tenang malah gembira untuk berkhidmat dengan suami. Ini adalah fitrah semulajadi perempuan. Dalam syariat juga menyuruh para suami mempertimbangkan akan hal ini.

Jangan dibentak-bentak suami dan melepaskan geram kita dengan kata-kata yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaannya. Cubalah pilih perkataan yang baik-baik dan terangkan dengan penuh hikmah dan kasih sayang, insyaAllah mudah-mudahan dia akan sedar, kerana kadang-kadang ada suami yang tidak faham akan perasaan perempuan dalam hal ini. Isteri juga cubalah usahakan dengan sembahyang hajat dan berdoa selalu serta mengadu kepada Allah agar membantu puan. Supaya Allah lembutkan hati suami dan membantunya menuju keredhaan Allah, supaya puan tetap sabar dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang. Pokoknya biarlah isteri sentiasa di dalam keredhaan suami, kerana di situlah keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah saw:

"Wanita yang mati dalam keredhaan suaminya redha (tidak marah) padanya, nescaya ia masuk syurga."

Setiap tindak-tanduk kita semuanya di dalam pemerhatian Allah, begitu juga hati. Jadi awaslah, jika terdetik rasa hendak marahkan suami, ingatlah nikmat-nikmat yang pernah diberikan oleh suami dahulu.
Ingatkanlah segala kebaikannya dan cuba lupakan kejahatannya. Sekiranya datang rasa tidak puas hati dengan suami kerana tidak sempurna makan minum, pakaian, tempat tinggi, kasih sayang dan hubungan seks atau seumpamanya ingatlah semuanya daripada Allah dan kita patut menerimanya dengan lapang dada. Namun begitu berusahalah untuk menyelesaikannya di samping berdoa mengharap bantuan Allah.

Hanya akhlak yang mulia dapat melunakkan hati yang keras. Oleh itu sentiasalah berakhlak mulia, seperti tawadhuk dan merendah diri kepada suami. Anggaplah segala kesusahan itu sebagai pengajaran dari Allah terhadap dosa-dosa kita samada dosa terhadap Allah atau dosa sesama manusia lebih-lebih lagi dosa kepada suami. InsyaAllah jika isteri itu berakhlak mulia, lambat-laun hati suami yang keras akan lembut dan insaf. Berusahalah untuk menjadi seorang wanita yang baik, beriman, berakhlak dan bertakwa.

SabdaRasulullah yang bermaksud:
"Sukakah aku beritahu siapakah dan bagaimanakah sifat isterimu yang bakal ditempatkan di syurga?"

Jawab para sahabat: "Bahkan kami suka."

Sabda Rasulullah:
Iaitu tiap-tiap isteri yang bersifat kasih sayang dan melahirkan banyak anak. Dan apabila dimarahi suaminya ia menyerah dirinya untuk dihukum sehingga suaminya redha (memaafkan kesalahannya)."

2. MENZIHARKAN ISTERI

Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga
menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman yang maksudnya:

"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun."

"Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu
sendiri."


Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang sudah tertalak tetapi masih dalam talak raj'I iaitu isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (muhram suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami,

Siapakah muhram suami itu? Ada empat peringkat yang mana boleh berlaku muhram dengan suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:

Secara nasab atau keturunan

1. Ibu kandung suami.
2. Nenek (opah) kandung suami.
3. Anak saudara perempuan suami termasuklah anak saudara kakak atau abang suami.
4. Anak saudara perempuan dari pihak isteri. Ia juga tidak boleh disamakan dengan isterinya walaupun pada zahirnya suami tidak ada pertalian darah dengannya tetapi dalam hal ini anak saudara tersebut telah menjadi muhram sementara kepada suami, sebabnya suami tidak boleh mengahwininya yakni memadukannya dengan isterinya selagi hayat isterinya masih ada. Hubungan muhram ini akan terputus sebaik sahaja suami itu bercerai hidup atau bercerai mati dengan isteri tersebut, setelah itu barulah suami itu boleh berkahwin dengan anak saudara perempuan isteri.
5. Cucu saudara perempuan suami.
6. Adik beradik perempuan suami, ini termasuklah adik beradik kandung dan adik beradik tirinya samada sebelah ibu atau bapa sahaja.
7. Ibu saudara suami.
8. Anak kandung suami isteri.
9. Anak suami (anak tiri isteri).
10. Anak isteri (anak tiri suami).

Muhram berambil-ambilan
Muhram boleh berlaku melalui perkahwinan bapa dengan seorang perempuan. Perempuan yang dimaksudkan itu ialah ibu tiri. Mana-mana perempuan yang menjadi ibu tiri kita, dia adalah muhram dan haram dinikahi serta ditegah menyerupakan isteri dengannya. Tapi mesti dengan satu syarat, seorang suami itu mestilah telah mempunyai ibu tiri sebelum dia dilahirkan ke dunia lagi. Hanya ibu tiri yang ini saja
yang tidak boleh disamakan dengan isterinya.

Muhram secara ridha' (susuan)
Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu kepada ayah atau ibu suami), kerana semasa ayah atau ibu suami menyusu kepada ibu susunya, ia belum lahir ke dunia. Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah susu.

Ibu mertua
Muhram juga boleh berlaku melalui nikah. Di mana apabila seseorang lelaki itu menikahi seorang wanita, ibu isteri telah menjadi ibu mertua suami. Kedudukan ibu mertua kepada suami adalah seperti ibunya juga.

Kalau seorang suami itu memiliki 2, 3 atau 4 orang isteri, maka dia telah mempunyai 2, 3 atau 4 orang ibu mertua. Katakanlah pada suatu hari, suami telah menceraikan isteri keduanya. Walaupun dia telah
bercerai dengan isterinya tetapi hubungan suami dengan ibu mertua keduanya tetap kekal selagi hayat masih ada. Dia telah menjadi muhram kekal. Kedudukan ini samalah dengan cerai mati. Perlu diingat, 2, 3 atau 4 orang isteri itu jangan sekali-kali kita samakan dengan mana-mana ibu mertua kita yang lainnya kerana ia boleh menjatuhkan zihar kepada isteri. Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika melafazkan kata-kata kepada isteri. Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri, amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa disedari terkeluarlah kata-kata, "Muka Ayang ni saling tak tumpah macam muka ibu abang". Isteri yang jahil tersenyum bangga menerima pujian suami.

Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.

Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah bertanya kepada suaminya, "Bang, bang, betulkah rupa saya ni macam rupa anak kita?' "Ya", Jawab suami ringkas. Sepatah perkataan, "Ya" sudah cukup
menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.

Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu atau muhramnya.

Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar dari suami. Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya. Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku ini macam hidung anaknya."

Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri. Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu
saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan dengan mulut.

Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz yang nyata. Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata, kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut, pusat, kaki dan sebagainya. Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut, bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam lafaz zihar. Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan, satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu, ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak
kita sedari, masuk nerakalah kita. Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau sekiranya suami tidak menyedari tentang telah berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang dikatakan dosa yang bersambung-sambung. Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata lagi:
"Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum Allah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih."

Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka. Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

(Penjelasan untuk melaksanakan hukuman)
Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua. Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia
menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya. Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa, dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya. Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula. Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga. Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlahdiansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.

Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan
isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu. Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah
redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat, seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri. Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulankeduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan. Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan, muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi muhramnya.

Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.


3. ZIHAR DARI KITAB FURU'UL MASAIL

Di atas permintaan ramai, tajuk ini saya ketengahkan sekali lagi kerana ramai pembaca yang kurang jelas dengan huraian bab zihar saya semalam. Kali ini dibicarakan secara yang lebih jelas dan tepat untuk
panduan umum agar kita terselamat dari melakukan zihar. Kitab yang saya gunakan ini adalah dari kitab FURU'UL MASAIL. Moga-moga segala ilmu yang dipelajari ini dapat difahami dan dihayati sungguh-sungguh.

Zihar pada segi bahasa ertinya bahagian-bahagian belakang tubuh badan hingga ke belikat. Di situlah segala bebanan ditanggung oleh manusia. Pada segi istilah syarak, ertinya suami yang telah menyerupakan juzuk tubuh badan isteri dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya.

Allah swt sangat melarang keras bagi suami yang menyamakan isteri mereka dengan muhramnya sebab isteri bukanlah orang yang melahirkan mereka sebaliknya si isteri itu adalah orang yang melahirkan anak-anak mereka. Sesiapa yang telah melakukan zihar sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap rumahtangganya.

Allah swt telah berfirman yang maksudnya:
"Orang-orang yang menzihar isteri di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan
sesungguhnya perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun."

Surah Mujadalah:2
"Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua hati di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri" Surah Al Ahzab: 4

Menurut adat kebiasaan Arab jahiliah apabila si suami menziharkan isterinya maka tercerailah suami isteri itu dan tidak boleh bersama kembali (tidak boleh rujuk) buat selama-lamanya. Tetapi setelah datangnya Islam maka amalan ini dihapuskan yang mana zihar tidak sampai bercerai suami isteri tetapi dilarang pergaulan (jimak) suami isteri sehingga suami membayar kifarah. Contoh perkataan yang boleh terjatuhnya hukum zihar ialah, seperti kata suami kepada isterinya:

"Jari awak yang runcing ni saling tak tumpah macam jari mak abang tu."

"Muka ayang ni macam muka Siti Nurhaliza, cucu kita anak si Mohd Ghazali tu."

Tidak jatuh hukum zihar kalau suami menyamakan muhramnya dengan isteri. Begitu juga halnya kalau disamakan dengan rambut, kuku, air mata, air susu, gigi, air liur atau peluh kerana ia adalah lebihan
anggota badan.

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun iaitu:

1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.

Sila ambil perhatian, siapakah muhram suami itu? Hanya ada tiga golongan sahaja muhram suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:

Sebab keturunan
a. Ibu kandung.
b. Anak perempuan.
c. Adik-adik beradik perempuan suami samada seibu sebapa, seibu atau sebapa;
d. Nenek kandung hingga ke atas
e. Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adik beradik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa, seibu atau sebapa;
f. Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
g. Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau perempuan hingga ke bawah.

Muhram berambil-ambilan
Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disamakan dengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita
masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri.
Seindainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut. Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu
perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika isteri disamakan dengan mereka sebab muhramnya datang kemudian.

Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan akal fikiran dan pertumbuhan si anak. Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan sepertimana Rasulullah saw. Baginda telah disusukan oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah. Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh
dijadikan anak susu selagi usianya belum dua tahun dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itukenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dari
ibu susunya. Jika suami menghisap susu isteri, suami tidak akan menjadi orang sesusuan. Muhram secara ridha' (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu kepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia belum lahir ke dunia. Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke
dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah susu. Lengkaplah hukum zihar apabila telah memenuhi rukun yang keempat iaitu lafaz atau sighah. Lafaz ini mengandungi tiga bahagian iaitu:

1. Perkataan yang nyata ataupun secara sindiran (kinayah). Kalau berlaku secara sindiran ianya berkehendakkan niat. Sekiranya ada niat untuk menyamakan isteri dengan muhram suami maka barulah
jatuh hukum zihar.
2. Tulisan (surat) Contohnya: "Menemui adinda yang dikasihi, sepanjang permusafiran ini yang entah bila pulangnya ini, abang selalu terkenangkan adinda. Wajah adinda saling tak tumpah macam rupa anakanda Siti Khadijah.." Secara automatik jatuhlah hukum zihar kerana si isteri telah disamakan dengan anak perempuan mereka.
3. Isyarat ditujukan kepada orang bisu dengan syarat ianya boleh difahami.

Denda zihar pula sama seperti huraian dalam bab zihar saya semalam, cuba pembaca fahami turutan denda yang saya tuliskan dan laksanakan kalau pembaca ada melakukan zihar ke atas isteri saudara. Akhir kata dari saya, di dalam membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Si isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengaenai peribadinya jikalau ada
persamaan dengan ahli keluarga suami. Bimbang kalau si suami jahil dalam bab ini atau terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukum zihar. Kadang-kadang kerana peramahnya mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.

No comments: