Friendster Glitter Background

Thursday, April 14, 2011

FAMILI BAHAGIA




Ibu Bapa Sebagai Pemimpin Keluarga

Tugas ibu bapa sebagai pemimpin keluarga memang sudah terbukti dan ini tidak boleh dipersoalkan lagi . Apa yang perlu diperkatakan ialah ciri-ciri kepimpinan ini, kerana cici-ciri inilah yang menentukan keberkesanan seseorang itu sebagai ibu atau bapa. Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk semua ibu bpa mengetahui ciri-ciri ini.

Pertama, ibu bapa yang berjaya sebagai pemimpin keluarga mestilah berkebolehan untuk berkomunikasi dengan baik. Ini bermakna ibu bapa mestilah mempunyai kebolehan untuk berbicara dengan anak-anak mereka. Pada amnya, ramai ibu bapa mampu untuk berbicara secara terus terang, jujur dan secara langsung dengan anak-anak mereka. Ibu bapa yang begini tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyatakan hasrat hati mereka dan juga menyampaikan berbagai ajaran kepada anak-anak. Ibu bapa yang berkebolehan ini dapat menanamkan sikap jujur dan berangungjawab dalam jiwa anak-anak mereka. Pada masa yang sama anak-anak dapat mempercayai ibu bapa mereka.

Ada juga ibu bapa yang kurang mahir dalam berkomunikasi secara jujur dan langsung ini. Mereka sering menggunakan sindiran dan sentiasa mengejek anak-anak. Cara yang begini boleh menimbulkan perasaan rendah diri dan kurang yakin anak-anak terhadap kebolehan mereka. Jadi bagi ibu bapa yag mengamalkan cara ini, adalah lebih baik jika mereka dapat menghentikannya dan sebagai gantinya, gunalah cara jelas dan jujur.

Kedua, ibu bapa yang berjaya juga mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mendidik anak-anak mereka dengan sempurna. Ini tidak bermakna ibu bapa berkenaan harus mempelajari semua perkara, tetapi apa yang diutamakan ialah jika ibu bapa itu memperkatakan sesuatu perkara, mereka tahu dan faham apa yang diperkatakan. Jika mereka tidak tahu sesuatu perkara itu, mereka bersedia mencari maklumat yang dikehendaki.

Keadaan yang begini berbeza dengan ibu bapa yang tidak mempunyai keyakinan. Apabila mereka ditanya tentang sesuatu yang mereka tidak tahu, mereka akan berpura-pura tahu dan membohongi anak-anak mereka. Mereka menganggap bahawa sebarang jawapan adalah lebih baik daripada mengaku tidak tahu. Cara ini akan diteladani oleh anak-anak dan mereka mungkin akan mengamalkan sikap berbohong dan sombong ini. Jadi janganlah ibu bapa bersikap demikian. Sebagai seorang manusia, kita tidak mampu mengetahui semuanya dengan lengkap. Oleh itu, tidaklah menjadi satu kelemahan atau kesalahan mengaku tidak tahu. Walaupun begitu, ini tidak bermakna semua soalan harus dijawab dengan tidak tahu sahaja. Ibu bapa mestilah berusaha untuk menambah pengetahuan mereka selaras dengan perkembangan pengetahuan yang ada sekarang.

Ciri yang ketiga ialah kemahiran menyelesaikan masalah. Ibu bapa sebagai pemimpin, bukan sahaja berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara mereka berdua, tetapi juga berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara anak-anak. Ibu bapa harus bersikap adil dalam menyelesaikan masalah dan konflik yang dihadapi oleh anak-anak. Mereka juga dapat menyelesaikan masalah dengan cara baik, apabila mereka menghadapi pergolakan perhubungan dengan ibu bapa mereka sendiri, kepincangan perhubungan dengan jiran-jiran atau teman sekerja. Dengan adanya kemahiran ini, semua masalah yang mereka hadapi tidak menimbulkan kesan negatif dalam perhubungan keluarga mereka.

Kemahiran menyelesaikan masalah bergantung kepada beberapa faktor tertentu. Faktor-faktor ini ialah, kebolehan mengenal pasti masalah yang dihadapi, kebolehan mengumpul data berkaitan dengan masalah itu, mencari jawapan yang sesuai dan melaksanakan tidakan yang berpatutan. Kegagalan salah satu faktor ini dengan sendirinya akan menjejas seseorang itu menyelesaikan masalahnya.

Ibu bapa yang berkesan sebagai pemimpin, dapat membahagikan tugas-tugas tertentu dengan adil kepada semua anak-anak mereka. Sejak kecil lagi, ibu bapa harus membiasakan anak-anak mereka bertanggungjawab dengan menjalankan tugas-tugas tertentu selaras dengan kematangan dan kecerdasan fikiran anak-anak tersebut. Cara begini ibu bapa tidak membebani diri mereka dengan segala tugas. Perkongsian tugas juga dapat membantu anak-anak memahami sedikit sebanyak tugas ibu bapa. Ini adalah penting sebagai satu proses sosialisasi. Tiap-tiap individu pada satu masa nanti akan menjadi ibu atau bapa. Jadi proses sosialisasi dapat menyediakan peranan yang sesuai untuk diri mereka.

Dalam memberikan tugas-tugas tertentu kepada anak-anak, ibu bapa mempunyai tugas tambahan untuk memimpin anak-anak itu menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna. Galakan dan pujian sentiasa diberi supaya anak-anak lebih rajin menjalankan tugas mereka. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu menghargai segala sumbangan yang diberikan oleh anak-anak terhadap keluarga.

Penghargaan ini boleh menimbulkan perasaan bangga dan dikehendaki. Kedua-dua perasaan ini, adalah penting kerana dapat mewujudkan keyakinan kepada diri sendiri.

Di samping berkeboleh memberi tugas-tugas tertentu kepada anak-anak, ibu bapa itu sendiri mestilah gigih menjalankan tugas mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dalam menjalankan tugas yang telah diamanatkan kepada mereka. Ini bermakna ibu bapa janganlah cuai menjalankan tugas mereka. Amat penting bagi ibu bapa mempunyai daya usaha yang tersendiri untuk memulakan sesuatu tugas dan aktiviti itu. Daya usaha inilah yang membuktikan kreativiti ibu bapa berkenaan.

Ciri-ciri yang lain termasuklah pandai menyelesaikan konflik dan menjalankan tugas mereka dengan mesra dan saling hormat menghormati. Dalam menyelesaikan konflik di antara anak-anak, ibu bapa mestilah adil dan tidak menyebelahi mana-mana anak. Bersikap adil begini, memanglah susah kerana selalunya ibu bapa mempuyai anak ‘tersayang’. Oleh itu, ibu bapa mestilah bekerja lebih kuat lagi supaya pilih kasih tidak begitu ketara. Pilih kasih boleh menyebabkan rasa rendah diri di kalangan anak-anak. Pada masa yang sama anak-anak mungkin saling bermusuhan. Permusuhan ini perlulah dielakkan.

Kemesraan ai antara ibu bapa dan anak-anak akan menjaminkan perhubungan yang bahagia. Segala tindak-tanduk dengan anak-anak mestilah berasaskan kepada kemesraan ini. Di samping itu, ibu bapa harus menghormati di antara satu sama lain dalam keluarga mereka. Sekali lagi ibu bapa terpaksa menunjukkan teladan yang baik.

Menjadi ibu bapa mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri. Di sebalik keistimewaan ini, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dijalankan. Salah satu daripada tanggungjawab ini ialah menjadi pemimpin keluarga. Untuk menjadi pemimpin yang berjaya, ibu bapa perlu mempunyai beberapa ciri yang tertentu seperti yang telah diperkatakan di atas.

Diharap ibu bapa yang merasa diri mereka berkurangan, mencari jalan untuk mengatasi kekurangan ini. Ibu bapa mestilah sentiasa berusaha memperbaiki cara pendidikan mereka supaya anak-anak menjadi lebih sempurna dan bahagia.

No comments: