Friendster Glitter Background

Thursday, April 28, 2011

FIQH SOLAT BERJEMAAH

Bahan ini disusun dan diolah dari kitab rumi yang
asalnya dipetik dari sebuah kitab jawi dengan gaya
bahasa lama. Saya mengemukakannya dalam bentuk
yang lebih moden dan mudah untuk tatapan anda. Moga
bermanfaat.
12 Syarat Sah Menjadi Makmum:
1.Berniat makmum-dengan berjemaah atau mengikut imam
2.Berada bersama imam di satu tempat
3.Makmum mengikut imam pada perbuatan sunat (yang
sekiranya makmum menyanggahi imam ia adalah perbuatan
keji dalam solat)
4.Makmum tidak ketinggalan dari imam sebanyak 2 rukun
perbuatan
5.Makmum bertakbiratul Ihram kemudian dari imam
6.Makmum menganggap solat imam sebagai sah
7.Solat imam tidak diulangi
8.Imam tidak menjadi makmum kepada orang lain
9.Imam lebih kedudukan/ martabat dari makmum
10.Tumit makmum di belakang tumit imam
11.Makmum tahu perpindahan rukun perbuatan imam
12.Solat makmum sama perbuatannya dengan perbuatan solat
imam
Huraian:
Perkara pertama: Berniat makmum-dengan berjemaah
atau mengikut imam
Disyaratkan mengikut pada takbiratul Ihram pada solat yg
disyarat berjemaah seperti solat Jumaat, solat yang diulang,
solat Jamak Taqdim kerana hujan bagi orang yang bermukim.
Jika tidak, solat tidak sah. Begitu juga imam, berniat imam
ketika takbiratul Ihram.
Jika solat tidak disyaratkan berjemaah, makmum/ imam boleh
niat berjemaah selepas Takbiratul Ihram. Solat kedua-duanya
sah, tetapi makruh bagi makmum, tidak makruh bagi imam,
tetapi fadilat berjemaah didapati setakat berniat imam sahaja.
Makmum yang tidak berniat mengikut imam, sedangkan
perbuatan solatnya seperti menanti perbuatan imam dengan
kadar lama, batal solatnya. Melainkan ia menanti sekejap atau
secara kebetulan.
Perkara kedua: Berada bersama imam di satu tempat
Ada 4 situasi:
i) Sama-sama di dalam masjid
ii) Imam dalam masjid, makmum luar masjid
iii) Imam luar masjid, makmum dalam masjid
iv) Imam dan makmum di luar masjid-surau, madrasah,
musolla, rumah, padang dll
i) Sama-sama dalam masjid (walaupun jarak makmum-imam
lebih 300 hasta, dihalang dinding, makmum di atas, imam di
bawah atau sebaliknya dengan syarat ada laluan/ tangga
menujunya)
Makmum sah mengikut imam dengan 2 syarat.
1.Makmum mengetahui perpindahan rukun perbuatan imam,
sama ada dengan melihat, mendengar suara, atau suara
muballigh atau melihat perbuatan makmum lain.
2.Makmum tidak berada dalam bilik yang pintunya dipaku.
Tidak mengapa jika sekadar diselak, dikunci.
ii) Imam dalam masjid, makmum luar masjid
dengan syarat jarak kedudukan makmum (pertama luar masjid)
tidak melebihi 300 hasta. Kiraan permulaan jarak dari tepi
masjid, bukan dari imam, kerana masjid sebagai tempat solat
iii) Imam luar masjid, makmum dalam masjid
dengan syarat sama seperti di atas.
iv) Imam dan makmum di luar masjid-surau, madrasah,
musolla, rumah, padang dll
2 syarat:
1. jarak kedudukan makmum-imam atau jarak dari saf hadapan
dengan imam tidak melebihi 300 hasta.
2. tiada dinding menghalang antara makmum dan imam
walaupun nampak imam, atau dinding tidak menghalang laluan
tetapi tidak kelihatan seperti tabir. Ia berlainan dari dinding
yang mempunyai pintu, dibuka ketika solat.
Perkara ketiga: Makmum mengikut imam pada
perbuatan sunat (yang sekiranya makmum
menyanggahi imam, ia adalah perbuatan keji dalam
solat)
Sunat-sunat yang keji apabila makmum menyalahi imam ialah
seperti sujud tilawah, tasyahhud awal, qunut dan sujud sahwi.
a) Sujud Tilawah
Makmum mesti mengikut imam-sama ada melakukannya atau
meninggalkannya. Sekiranya makmum tidak mengikut
perbuatan imam, solatnya batal.
b)Tasyahhud awal
Makmum mesti mengikut imam jika imam melakukannya. Jika
imam duduk untuk tasyahhud kemudian meninggalkannya,
makmum boleh membaca tasyahhud. Jika imam meninggalkan
tasyahhud, makmum tidak boleh tasyahhud.
c) Qunut
Makmum tidak wajib mengikut imam, sama ada melakukannya
atau meninggalkannya. Sekiranya imam baca qunut, makmum
boleh meninggalkannya. Begitu juga sebaliknya, dengan syarat
sempat bersama imam dalam sujud pertama. Jika makmum
membaca qunut sedangkan imam tidak, makmum sempat
bersama imam ketika duduk antara dua sujud, hukumnya
makruh. Jika imam sujud kedua, sedangkan makmum masih
membaca qunut (iaitu belum turun sujud), batal solat makmum.
d) Sujud sahwi
Makmum wajib mengikut jika imam melakukannya. Jika imam
meninggalkannya, makmum boleh sujud sahwi selepas imam
memberi salam.
Perkara keempat: Makmum tidak ketinggalan dari imam
sebanyak 2 rukun perbuatan (atau mendahului imam
dengan 2 rukun perbuatan)
Jika makmum terlambat satu rukun perbuatan dari imam,
hukumnya makruh.
Jika makmum mendahului satu rukun perbuatan dari imam,
hukumnya haram. (Solat tidak batal)
Sekiranya makmum muafiq, tidak sempat menghabiskan
bacaan Fatihah, imam rukuk. Makmum boleh meneruskan
bacaan Fatihah sehingga imam mendahuluinya 3 rukun panjang
(rukuk, sujud pertama, sujud kedua). Iktidal dan duduk antara
dua sujud dikira rukun pendek.
Perkara kelima: Makmum bertakbiratul Ihram kemudian
dari imam
Iaitu imam selesai menyebut ‘ra’ pada ‘Allahu akbar’
Perkara keenam: Makmum menganggap solat imam
sebagai sah
Iaitu makmum mengikut imam dalam keadaan imam meyakini
solatnya sah.
Perkara ketujuh: Solat imam tidak diulangi
Contohnya imam solat dengan tayammum kerana tiada air
sedangkan ia bukannya musafir, atau imam solat dengan
tayammum yang ada najis di bawah balutan lukanya dll, maka
solat imam perlu diulangi.
Perkara kelapan: Imam tidak menjadi makmum kepada
orang lain
Sekiranya imam memberi salam, makmum bangun bagi
menambah rakaat yangbelum cukup, maka boleh
berimamkannya.
Perkara kesembilan: Imam lebih kedudukan/ martabat
dari makmum
Perempuan tidak boleh menjadi imam kepada lelaki, Ummi
(tidak pandai membaca dengan baik) tidak boleh menjadi imam
kepada qari.
Perkara kesepuluh: Tumit makmum di belakang tumit
imam
Sekiranya tumit makmum sama dengan tumit imam, hukumnya
makruh.
Perkara kesebelas: Makmum tahu perpindahan rukun
perbuatan imam
Sama ada dilihat, didengar imam atau gerakan makmum disaf
belakang imam atau suara orang yang menguatkan suara untuk
menyampaikan perpindahan imam.
Perkara keduabelas: Solat makmum sama perbuatannya
dengan perbuatan solat imam
Maksudnya pada perbuatan sahaja, tidak disyaratkan pada niat.
Oleh itu, tidak sah makmum solat Zohor berimamkan yang solat
jenazah atau gerhana dan sebaliknya.
Jika yang solat Zohor berimamkan yang sunat, atau solat tunai
berimamkan yang qada’, atau yang banyak bilangan rakaat
berimamkan yang sedikit bilangan rakaat atau sebaliknya, sah
solat semuanya.
Beberapa masalah:
1.Jika yang solat banyak bilangan rakaatnya (cth Zohor)
berimamkan yang sedikit bilangan rakaatnya (cth Subuh,
Maghrib), hukumnya seperti makmum masbuk iaitu
disempurnakan bilangan rakaat selepas imam memberi salam.
2.Jika imam solat Subuh, membaca Qunut, maka afdhal bagi
makmum mengikut imam.
3.Begitu juga jika imam membaca tasyahhud akhir pada solat
Maghrib dan makmum solat Zohor, afdhal bagi makmum
mengikut imam.
Makmum boleh mufaraqah dari imam semasa imam baca
qunut pada solat Subuh atau tasyahhud akhir pada solat
Maghrib. Kelebihan berjemaah tidak hilang dari makmum
kerana mufaraqah tersebut dibuat bagi memelihara aturan
solatnya.
4.Jika makmum sedikit bilangan rakaat solatnya (cth Subuh)
berimamkan kepada yang banyak bilangan rakaat (cth Zohor),
harus bagi makmum mufaraqah sebaik sahaja cukup bilangan
rakaatnya dan imam bangun kepada qiam rakaat ketiga
Atau
Harus makmum mengikut imam, iaitu ketika imam
tasyahhud awal, ia adalah tahiyyat akhir bagi makmum. Ketika
ini, afdhal bagi makmum menanti imam untuk memberi salam
bersama-sama dengan imam.
Jika imam tidak duduk untuk tasyahhud awal, makmum
tidak boleh menanti di dalam tasyahhudnya. Oleh itu wajib bagi
makmum niat mufaraqah ketika itu. Jika tidak batal solatnya
5.Jika makmum solat maghrib berimamkan yang solat zohor,
wajib bagi makmum mufaraqah ketika imam bangun untuk
qiam pada rakaat ke-4. Ketika ini makmum tidak boleh menanti
imam untuk memberi salam bersamanya, kerana menanti imam
ketika itu menyebabkan makmum melakukan pekerjaan yang
tidak dibuat oleh imam iaitu tahiyyat awal bagi imam.


Tertib solat berjemaah yang afdhal
1. Solat berjemaah-paling kurang seorang imam dan seorang
makmum. Afdhal solat berjemaah dari solat bersendirian
walaupun tidak khusyuk solat berjemaah berbanding solat
bersendirian.
2. Tertib-Jumaat kerana disyarat berjemaah, subuh Jumaat,
subuh lain, Isyak, Asar, Zohor, Maghrib.
3. Afdhal solat berjemaah berkait dengan tempat: 3 masjid-
Masjidilharam, Masjid Nabi, MasjidilAqsa, masjid yang diyakini
halal sumber binaan dan tempat.
4. Jika berlaku keadaan solat di masjid tidak dapat berjemaah
iaitu berseorangan, sedangkan solat di rumah dapat berjemaah,
maka afdhal solat berjemaah, kerana perkara yang berkait
dengan ibadat iaitu berjemaah lebih afdhal dari yg bergantung
dengan tempat iaitu masjid.
5. Solat berjemaah yang ramai lebih afdhal dari yang sedikit,
melainkan jika imamnya bid’ah dan kumpulan sedikit itu tidak
bid’ah
6. Berjemaah dalam kumpulan sedikit yang didengar bacaan
Fatihah dan surah imam lebih afdhal dari berjemaah yang tidak
dapat didengar bacaan Fatihah dan surah imam
7. Mereka yang lebih utama menjadi imam adalah pemerintah,
imam dilantik, yang alim fiqh, qari, warak, lebih awal Islamnya,
keturunan baik, suci pakaian, suci badan, baik pekerjaannya,
elok suaranya, elok rupanya.
8. Jika makmum mufaraqah dari imam kerana ada keuzuran,
fadhilat berjemaahnya tidak luput, sama ada keuzuran diri
makmum atau imam. Contohnya imam meninggalkan tahiyat
awal, qunut atau dipanjangkan bacaannya lebih dari sekurangkurang
afdhal sedangkan makmum tidak berupaya atau
keadaan makmum yang perlu disegerakan solatnya.
9. Kadang-kadang wajib bagi makmum berniat mufaraqah, iaitu
apabila berlakunya keadaan yang menjadikan solat imam batal,
sedangkan makmum mengetahui imamnya batal. Jika tidak
berniat mufaraqah, batal solat makmum.
4 Perkara yang didapati oleh makmum ketika
berjemaah:
1. Mendapat fadhilat berjemaah
2. mendapat Jumaat
3. mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam
4. mendapat rakaat
Huraian:
1.Mendapat fadhilat berjemaah
Makmum mendapat pahala berjemaah jika sempat Takbiratul
Ihram sebelum imam memberi salam pertama, walaupun
makmum tidak sempat duduk bersama imam. Ini kerana
makmum sempat berjemaah dalam satu rukun bersama imam
iaitu Takbiratul Ihram. Namun dari segi fadhilat, tidak sama
dengan mereka yang sempat berjemaah dari awal.
Beberapa Masalah:
1. Jika makmum masbuk, selepas Takbiratul Ihram, tiba-tiba
imam memberi salam, sedangkan makmum belum sempat
duduk bersama imam. Oleh itu makmum tidak boleh duduk
bersama imam kerana duduknya imam di saat itu dikira diluar
solat. Maka makmum tidak boleh mengikut imamnya iaitu
duduk bersama imam. Jika makmum duduk juga, batal
solatnya. Jika lupa atau jahil, tidak batal tetapi wajib bangun
dengan segera jika ingat (dalam masalah lupa) atau tahu
(dalam masalah jahil), kemudian sunat sujud sahwi.
2. Jika makmum masbuk, imam masih membaca tasyahhud dan
belum memberi salam, wajib bagi makmum duduk bersama
imam. Jika tidak, batal solat.
3. Jika seorang baru datang untuk solat berjemaah ketika imam
selesai rukuk pada rakaat akhir, sunat baginya menanti salam
imam untuk mendirikan solat berjemaah yang baru untuk
mendapat pahala berjemaah yang lebih sempurna. Itupun jika
masa masih panjang. Jika masa hampir habis, sunat berjemaah
terus bersama imam yang ada. Menurut Ibn Hajar, sunat
menunggu untuk berjemah yang baru itu selama tidak luput
fadhilat awal waktu atau waktu ikhtiar Jika luput kedua-dua
waktu itu kerana menantikan kedatangan jemaah baru, maka
lebih baik berjemaah dengan yang asal.
2. Mendapat Jumaat
Dikira mendapat Jumaat selepas dapat rakaat bagi makmum
bersama imam walaupun pada rukuk rakaat kedua. Apabila
makmum mendapat rakaat, hendaklah ia tambah satu rakaat
lagi setelah selesai imam memberi salam. Sunat bagi makmum
menguatkan bacaan Fatihah dan surah pada rakaat keduanya.
Makmum masbuk yang tidak sempat mendapat Jumaat kerana
tidak dapat rakaat bersama imam wajib juga berniat Jumaat,
dan solat disudahkan dengan Zohor (iaitu 4 rakaat). Ada
pendapat berkata harus dengan niat Zohor terus.
3. Mendapat fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam
Bagi makmum yang sempat bertakbir mengiringi Takbiratul
Ihram imam, dikira dapat fadhilat Takbiratul Ihram dengan 2
syarat:
Makmum berada di belakang imam ketika imam Takbiratul
Ihram
Makmum terus mengiringi Takbiratul Ihram sebaik sahaja imam
selesai takbir.
Masalah:
1.Sunat bagi makmum tidak berlari ke tempat berjemaah
walaupun takut luput fadhilat Takbiratul Ihram bersama imam.
Ini berbeza dengan Jumaat, wajib bersegera sekadar
kemampuan.
2. Sunat bagi imam atau yang solat bersendirian menunggu
mereka yang hendak berjemaah bersamanya. Tempat menanti
ialah semasa rukuk di rakaat akhir atau tasyahhud akhir kerana
Allah dan tidak dalam masa yang lama.
3. Sunat bagi imam menunggu makmum di dalam sujud kedua
(dalam masalah makmum muafiq ketinggalan dari imam
dengan sebab ia menghabiskan bacaan fatihah)
4. Sunat imam meringankan solat dengan melakukan sunat
ab’adh dan hai’ah iaitu sekurang-kurang afdhal dan jangan
sampai had terlebih akmal, melainkan makmum redha (iaitu
dengan berlafaz, dan tidak memadai dengan diam seperti yang
difahami oleh Sheikh Ramli dan Ibn Hajar)
5. Makruh memulakan solat sunat selepas Iqamah dibuat. Jika
seseorang solat sunat, tiba-tiba Iqamah dibuat, hendaklah
disempurnakan solatnya. Ini dibuat selama mana tidak takut
luput berjemaah Jika takut luput berjemaah, sunat bagi
makmum memberhentikan solatnya dan meneruskan
berjemaah bersama imam.
4. Mendapat Rakaat
Bagi makmum masbuk yang sempat rukuk bersama imam,
dikira mendapat rakaat dengan 3 syarat:
i. Makmum sempat Takbiratul Ihram dengan sempurna
sedangkan imam masih dalam rukuk.
ii. Makmum sempat rukuk bersama imam dengan sempat
Tomakninah.
iii. Rukuk bagi makmum yang dikira sah berhubung dengan
rukuk imam yang dikira sah iaitu semasa imam rukuk, tidak ada
apa-apa keadaan yang membatalkan solat imam seperti
berhadas atau kena najis.
Masalah:
1. Makmum masbuk yang sempat rukuk bersama imam dengan
dapat tamakninah, tiba-tiba imamnya berhadas. Makmum dikira
dapat rakaat kerana dapat tamakninah rukuknya bersama
imam. Sebaliknya makmum yang rukuk tidak sempat
tamakninah, tiba-tiba imam berhadas, maka makmum tidak
mendapat rakaat tersebut.
Demikian juga makmum tidak dapat rakaat jika syak-adakah ia
mendapat tamakninah rukuk bersama imam atau tidak.
Makmum perlu menambah satu rakaat kerana rukuk tidak dikira
dapat rakaat, kemudian makmum sujud sahwi kerana syakitu
berlaku melarat selepas imam memberi salam, dan syak seperti
ini dikira luar tanggungan imam.
2. Jika seseorang ingin solat pada waktu yang hampir habis,
tiba-tiba ada seorang yang sedang solat dalam keadaan rukuk.
Kalau ia berjemaah dengannya, dapat satu rakaat solatnya
dalam waktu. Kalau tidak berjemaah, tidak dapat solat dalam
waktu walaupun satu rakaat. Maka ketika itu wajib ia
berjemaah untuk mendapat rakaat di dalam waktunya
walaupun satu rakaat, dan solatnya menjadi solat tunai
walaupun sebahagian rakaat lain diluar waktu, kerana ia
mendapat rakaat, sekurang-kurangnya satu rakaat di dalam
waktu.
Perkara-perkara sunat yang dilakukan oleh makmum
bersama imam
Makmum masbuk disunatkan takbir intiqalat ketika sama-sama
berpindah dengan imam walaupun bukan tempat baginya.
Misalnya ia masuk berjemaah ketika imam iktidal. Imam turun
untuk sujud. Makmum sama-sama turun sujud dengan bertakbir
walaupun turun itu bukan tempat bagi makmum.
Makmum masbuk disunatkan angkat tangan kerana mengikut
imam seperti ia sama-sama bangun dengan imam ketika imam
bangun dari tasyahhud awal. Sementara makmum masbuk
tidak disunatkan mengikut imam pada keadaan duduk, seperti
imam duduk tawarruk pada tahiyat akhir. Maka makmum yang
belum bertahiyat akhir, sunat duduk iftirash.
Masalah:
Wajib bagi makmum masbuk bangun selepas imam memberi
salam kedua. Oleh itu, haram bagi makmum itu masih duduk.
Jika ia masih duduk bukan pada tempatnya, batal solatnya.
Jika makmum duduk selepas imam memberi salam kedua dan
kebetulan tempat tasyahhud awal baginya, maka harus bagi
makmum duduk walaupun lama masanya. Contohnya: imam
pada rakaat ke-3 pada solatnya 4 rakaat. Makmum baru masuk
berjemaah ketika itu Ertinya semasa imam tahiyat akhir, tempat
itu ialah tempat tahiyat awal bagi makmum.
HUKUM MASBUQ DAN MUAFIQ
Setiap makmum yang berjemaah, fardhu atau sunat, tidak
terlepas sama ada keadaannya masbuq atau muafiq.
Definisi:
Muafiq- makmum yang bersama imam iaitu makmum sempat
menghabiskan bacaan Fatihahnya ketika ia qiam bersama
imam.
Hukum: dimaafkan kepada makmum muafiq ketinggalan dari
imam sebanyak 3 rukun panjang sekiranya berlaku keadaan
yang mengharuskan ketinggalan tersebut. Contohnya: imam
rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Justru, kiranya
makmum tidak menyelesaikan bacaan Fatihahnya sebaik sahaja
imam berpindah ke rukun ke-4 baginya, maka makmum mesti
membuat pilihan antara mufaraqah atau mengikut imam
tersebut.
Definisi Masbuq- makmum yang didahului oleh imam iaitu
makmum yang tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihahnya
atau langsung tidak sempat membacanya. Ia qiam bersama
imam atau ia mula berjemaah semasa imam sedang rukuk atau
hampir rukuk.
Oleh itu makmum masbuq tidak boleh ketinggalan dari imam
sampai 3 rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca
Fatihah sekadar yang dapat. Apabila imam rukuk, ia hendaklah
rukuk. Fatihah yang tidak sempat dihabiskan ditanggung oleh
imam. Demikian juga, makmum masbuq yang mula berjemaah
semasa imam sedang rukuk, ia terus rukuk tanpa membaca
apa-apa. Apabila sempat rukuk bersama imam serta
tamakninah, maka dikira makmum tersebut mendapat rakaat
itu.
Masalah berhubung dengan makmum muafiq:
1. Makmum muafiq tidak sempat menghabiskan bacaan
Fatihah kerana tabiat lambat membaca, dimaafkan tertinggal
dari imam walaupun sehingga 3 rukun panjang. Jika bacaan
fatihah tidak dapat dihabiskan sehingga imam berpindah ke
rukun ke-4, makmum perlu membuat pilihan di antara
mufaraqah atau mengikut imam. Jika ia mengikut imam, rakaat
tersebut tidak dikira dan makmum mesti menambah satu rakaat
selepas imam memberi salam.
Makmum muafiq yang lambat bacaannya kerana was-was,
tidak dimaafkan ketinggalan dari imam 3 rukun panjang,
bahkan ia hendaklah menyempurnakan bacaannya sebelum
imam turun untuk sujud. Jika tidak sempat menghabiskan
bacaannya, hendaklah ia berniat mufaraqah. Jika tidak berniat
mufaraqah sebelum imam turun sujud, dan sebaik imam turun
sujud, batal solat makmum. (Makmum muafiq yang was-was
dihukumkan seperti orang yang sengaja melambatkan bacaan
Fatihahnya. Oleh itu tidak dimaafkan ketinggalan dari imam
sebanyak 3 rukun panjang.)
2. Makmum muafiq yang syak ia membaca Fatihah atau tidak,
dan belum lagi rukuk sedangkan imamnya sudah rukuk. Maka
makmum berkenaan wajib membaca Fatihah dan dimaafkan
ketinggalan dari imam 3 rukun panjang. Jika makmum
berkenaan belum selesai bacaan Fatihahnya sedangkan imam
berpindah ke rukun ke-4 baginya, maka makmum berkenaan
ketika itu membuat pilihan di antara mufaraqah atau terus
mengikut imam. Jika makmum tidak membuat pilihan, apabila
sampai sahaja imam kepada rukun ke-4, batal solatnya.
3. Makmum muafiq yang syak membaca Fatihah atau tidak,
kemudian rukuk bersama imam. Maka hukumnya makmum
tersebut tidak boleh kembali untuk membaca Fatihah, bahkan
wajib ia terus mengikut imam. Apabila imam selesai memberi
salam, wajib ia menambahkan satu rakaat lagi.
4. Makmum muafiq yang lupa membaca Fatihah semasa ia
qiam bersama imam, dan terus lupa sehingga imam rukuk,
sedangkan makmum masih belum rukuk. Kemudian baru
teringat, maka wajib makmum membaca Fatihah dan tidak
boleh ia rukuk bersama imam dan dimaafkan ia ketinggalan 3
rukun panjang dari imam.
5. Makmum muafiq yang syak membaca Fatihah atau tidak
semasa ia sudah rukuk, sedangkan imamnya belum rukuk.
Maka makmum itu wajib bangun semula membaca Fatihah dan
dimaafkan ketinggalan dari imam walaupun 3 rukun panjang.
6. Makmum muafiq yang tidak sempat membaca Fatihah
kerana membaca bacaan sunat selepas Takbiratul Ihram seperti
doa Iftitah. Imam rukuk dan makmum tidak sempat membaca
Fatihah atau menghabiskannya. Maka ia dimaafkan ketinggalan
3 rukun panjang dari imam.
7. Makmum muafiq yang menunggu saktah dari imam (iaitu
ia mendengar bacaan fatihah imamnya bertujuan mendapat
pahala sunat, dan bercadang membaca Fatihah apabila imam
membaca surah kemudiannya) tetapi sebaik sahaja imam
selesai membaca Fatihah,
i. ia terus rukuk tanpa membaca apa-apa surah. Justru,
makmum tidak sempat membaca Fatihah.
atau
ii. dibaca surah terlalu pendek sehingga makmum tidak sempat
menghabiskan bacaan Fatihah.
Maka hukum makmum begini dalam 2 masalah di atas ialah ia
wajib membaca Fatihah dan dimaafkan ia ketinggalan dari
imam sehingga 3 rukun panjang
8. Makmum muafiq tertidur di tengah solat pada tasyahhud
awal dengan tetap punggungnya di tempat duduk, berterusan
tidur, lalu ditinggal oleh imam sehingga imam turun untuk
rukuk. Barulah makmum terjaga dari tidurnya. Masalah ini
terdapat perselisihan di antara ulama:
i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini seperti orang yang
masbuk (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3
rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah sekadar
yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat
rukuk serta ada tomakninahnya, maka dikira dapat rakaat
tersebut.
ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum
muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)
9. Makmum muafiq yang ketinggalan dari imam. Apabila imam
bertakbir untuk qiam, disangka imam duduk utk tasyahhud
awal. Lalu ia duduk bertasyahhud. Ia mendengar imam
bertakbir untuk rukuk, disangkanya bangun dari tasyahhud
awal. Selepas itu baru makmum sedar bahawa takbir imam tadi
untuk rukuk. Ada berlaku khilaf:
i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini seperti orang yang
masbuk (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam sebanyak 3
rukun panjang. Bahkan ia hendaklah membaca Fatihah sekadar
yang dapat dan terus rukuk bersama imam. Jika ia sempat
rukuk serta ada tomakninahnya, maka dikira dapat rakaat
tersebut.
ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum
muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)-
sama dengan di atas
10. Makmum muafiq yang sama-sama membaca tasyahhud
awal bersama imam. Apabila imam berdiri dari tasyahhud awal,
makmum masih membaca tasyahhud awal. Apabila makmum
berdiri dari tasyahhud awal, didapati imam sudah rukuk atau
hampir hendak rukuk. Berlaku khilaf di antara Ibn Hajar dan
Ramli:
i. i. Sheikh Ibn Hajar berkata: Makmum ini tidak termasuk
dalam kalangan muafiq (iaitu tidak boleh ketinggalan dari imam
sebanyak 3 rukun panjang kerana dikira sebagai sengaja
meninggalkan bacaan Fatihah. Bahkan ia hendaklah membaca
Fatihah, dan jika dapat disempurnakan Fatihahnya, kemudian
sempat rukuk bersama imam serta Tomakninah, maka dapat
rakaat. Jika ia tidak sempat rukuk serta tomakninah, maka
hendaklah ia mufaraqah sebelum imam turun sujud. Dan
setelah mufaraqah dari imam, hendaklah ia melakukan aturan
solat dengan berseorangan. Jika tidak mufaraqah, batal solat
makmum.
ii. Sheikh Ramli berkata: Makmum tersebut seperti makmum
muafiq (iaitu dimaaf ketinggalan 3 rukun panjang dari imam)-
sama dengan di atas
Masalah berhubung dengan makmum masbuq:
1. Makmum masbuq tidak sempat membaca Fatihah kerana
imam hampir rukuk atau sudah rukuk. Wajib bagi makmum
rukuk bersama imam. Sekiranya dapat rukuk bersama imam
serta tomakninah, maka dikira dapat rakaat. Fatihah yang tidak
sempat dibaca, ditanggung oleh imam.
2. Makmum masbuq tidak sempat menghabiskan bacaan
Fatihah kerana imam rukuk, maka wajib ia rukuk bersama
imam, walaupun tabiatnya membaca dengan lambat. Ia
berbeza dengan makmum muafiq yang bertabiat lambat
membaca Fatihah, maka wajib ia membaca Fatihah walaupun
ditinggalkan oleh imam sehingga 3 rukun panjang. Sebahagian
Fatihah makmum yang belum dibaca ditanggung oleh imam.
3. Makmum boleh menjadi muafiq pada rakaat pertama.
Kemudian menjadi masbuq pada rakaat kedua kerana tertinggal
dari imam dengan sebab terlambat dalam menunaikan aturan
solat. Justru, sebaik sahaja ia bangkit untuk qiam, didapati
imam rukuk atau hampir rukuk, maka makmum tersebut
menjadi masbuq. Maka, jika ia sempat qiam dengan sempurna,
kemudian terus rukuk serta tomakninah bersama imam, maka
dapat rakaat baginya dan dimaaf ia meninggalkan bacaan
Fatihahnya.
4. Makmum masbuq rukuk selepas imam iktidal, atau ia rukuk
bersama imam tetapi tidak sempat tomakninah. Oleh itu
makmum tidak dapat rakaat tersebut dan wajib menambah satu
rakaat selepas imam memberi salam.
5. Makmum masbuq yang membaca bacaan sunat (doa Iftitah)
selepas Takbiratul Ihram. Tiba-tiba imam rukuk sedangkan
makmum belum membaca Fatihah. Maka makmum wajib
membaca ayat Fatihah sekadar ayat yang dibaca pada bacaan
sunat. Makmum menggunakan ijtihad dengan zan. Selepas itu
ia rukuk bersama imam serta tomakninah dan mendapat rakaat.
6. Ada imam yang terlalu pantas gerakan atau bacaannya.
Justru makmum ketinggalan dari imam, misalnya makmum
bangkit dari sujud dan didapati imam telah rukuk. Makmum
tidak sempat membaca Fatihah. Oleh itu makmum wajib rukuk
bersama imam kerana ia dikira makmum masbuk. Jika sempat
rukuk bersama imam serta tomakninah, dikira dapat rakaat.
Begitulah hukumnya pada setiap rakaat.
7. Makmum masbuq tidak membaca Fatihah selepas Takbiratul
Ihram sehingga imam rukuk. Hukumnya wajib bagi makmum
membaca ayat Fatihah sekadar masa yang ia diam. Selepas itu
terus rukuk bersama imam. Jika sempat rukuk bersama imam
serta tomakninah, dikira dapat rakaat. Jika tak sempat, tiada
rakaat dan tambah satu rakaat selepas imam beri salam.
Masalah: Makmum masbuk ketinggalan dari imam kerana
hendak menyelesaikan bacaan Fatihahnya. Apabila imam
bangkit dari rukuk, wajib bagi makmum mufaraqah (mengikut
pandangan Ibn Hajar, Sharbaini, Ramli) dan tidak wajib
mufaraqah (mengikut Zakaria Ansari) bahkan diberi pilihan di
antara mufaraqah atau terus mengikut imam iaitu sujud
bersama imam dengan meninggalkan rukuk itu.
Hukum Makmum Masbuq Pada Solat Jumaat:
Jika ia sempat rukuk bersama imam serta tomakninah, maka
dikira mendapat Jumaat. Oleh itu ia dikehendaki menambah
satu rakaat lagi selepas imam memberi salam, dan sunat ia
membaca dengan nyaring pada bacaan Fatihah dan surah
kerana dikira mendapat rakaat Jumaat padanya. Masalah ini
berbeza jika ia sempat berjemaah selepas imamnya rukuk pada
rakaat kedua seperti ia datang berjemaah semasa imam berada
pada tasyahhud atau iktidal, atau ia sempat rukuk bersama
imam tetapi tiada tomakninah. Maka makmum tidak mendapat
Jumaat kerana dikira tidak dapat rakaat bersama imam. Oleh
itu, makmum hendaklah menyudahkan solatnya dengan Zohor.
Bacaan Fatihah dan surah pada dua rakaat pertama baginya
hendaklah diperlahankan kerana dikira solat Zohor baginya.
Bagi makmum yang masbuq solat Jumaat, tidak sempat
mengikut imam semasa imam rukuk pada rakaat kedua, maka
ada perselisihan pendapat dalam berniat Jumaat atau Zohor.
Ada di antara ulama berpendapat berniat Jumaat tapi
perlaksanaannya solat Zohor dan ada ulama berpendapat terus
sahaja berniat Zohor.
Bagi makmum masbuq yang mendapat rakaat bersama imam,
maka dikira mendapat Jumaat dan apabila orang lain berimam
dengannya selepas ia mendapat rakaat, maka dikira mendapat
jumaat juga. Begitulah sehingga masuk waktu Asar, barulah
dikira habis Jumaat pada hari itu.

1 comment:

Mahsul Sejahtera said...

Assalamualaikum. w.b.t

Apa pulak hukumnya jika ada dua orang sembahyang tetapi tidak berjemaah. Masing2 sembahyang secara bersendirian dalam waktu yang sama. Contohnya A dan B masuk ke surau untuk sembahyang fardhu tetapi tidak berjemaah. Masing2 sembahyang secara sendirian dan dilakukan dalam waktu yang sama.