Friendster Glitter Background

Wednesday, April 13, 2011

HADIS 10: BAHAYA KEMEWAHAN

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah
saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya
kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah
saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana
mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat
dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di
Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan
kekayaan di Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah
keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi
di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan
diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu
sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai
Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini.Kami akan
menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki".
Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada
keadaan kamu di hari itu". (Riwayat Tirmizi)
Keterangan:
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu
masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang
pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka
tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan
demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau
semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita
Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk
kita", ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat ibadat kepada Allah swt.,
sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang kita miliki kalaupun tidak melebihi
keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para
sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh
ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan
menghalang dari berbuat ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibukmenjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang
pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah
mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua,
sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun
harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.
Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi di saat
itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh itu janganlah kita lupa daratan dalam
mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira
waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah
kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah
digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan
suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah
orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini
tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

No comments: